Ahad, 21 Oktober 2012

Sikap Tidak Menepati Masa

Orang Melayu memang terkenal dengan sikap tidak menepati masa. Pada pendapat saya sebab inilah kita masih ketinggalan jauh ke belakang. Budaya kita tidak sama dengan budaya bangsa lain yang maju contohnya masyarakat Jepun.

Sejak kebelakangan ini, saya tertekan dengan sikap segelintir di antara kita yang tidak menepati masa. Misalnya jika saya berjanji dengan mereka mahu berjumpa pada pukul 10 pagi, mereka akan datang pada pukul 11 pagi atau 12 tengahari. Begitu juga jika mereka mengadakan mesyuarat atau perjumpaan kumpulan.Biasanya, masa yang mereka janji, mereka sendiri tidak tepati. Hal ini menyebabkan orang yang menunggu terasa dan marah. Tetapi apabila disuarakan, mereka mengatakan bahawa inilah budaya orang Melayu.

Saya bukannya nak meninggi diri. Biasanya kalau saya ada temu janji dengan seseorang mahupun dikehendaki datang ke sesuatu majlis, saya akan datang 10 atau 15 minit lebih awal. Tapi ia telah menimbulkan rasa bosan dan sakit hati yang amat di dalam diri saya. Selalunya majlis atau orang yang ditunggu akan tiba lewat dari waktu yang ditetapkan. Adakah ini sikap yang wajar ditunjukkan oleh orang Islam?

Seharusnya kita membuang budaya ini, kerana budaya ini hanya membazirkan masa sahaja. Bukankah Allah juga berfirman yang bermaksud :

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3] 


Sabtu, 20 Oktober 2012

Aircond atau Pendingin Hawa?

Semasa saya berada dalam dewan kuliah, saya terpandang satu kertas yang ditampal di dinding dewan kuliah. Saya sempat mengambil gambar kenyataan itu iaitu seperti dalam gambar di atas.

Bahasa yang digunakan bercampur aduk. Suis "aircond". Suis adalah dalam bahasa Melayu manakala "aircond" adalah dalam bahasa Inggeris. Apa salahnya kalau "aircond" ditulis pendingin hawa. Kesalahan yang kedua ialaih "on-off". Apa yang sepatutnya ditulis ialah buka dan tutup.

Pada pendapat saya, hal ini terjadi kerana masyarakat sudah biasa menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Inggeris yang tidak digunakan dalam bahasa Melayu. Contohnya "aircond". Tidak ramai yang memanggil "aircond" itu sebagai pendingin hawa. Kebiasaan ini telah mewujukan perkataan-perkataan dieja dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu terus ditinggalkan.


Bus atau Bas?


Semasa saya sedang menunggu bas di hadapan pintu masuk UPSI, saya terpandang sebuah sepanduk yang terdapat kesalahan ejaan pada perkataan bas. Bas dieja dengan perkataan "bus". Jadi saya sempat menangkap gambar kesalahan ejaan tersebut.

Saya pasti dan yakin, kesalahan itu sengaja dilakukan. Saya berpendapat kanak-kanak darjah satu pun tahu ejaan yang sebenar, apatah lagi mahasiswa dan mahasiswi yang bakal menjadi guru.

Kita seharusnya sensitif dengan perkara ini dan kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku begitu sahaja. Mungkin orang yang menulis perkataan ini menganggap ianya adalah biasa. Tetapi sebenarnya tidak. 

Khamis, 18 Oktober 2012

Tidak Faham Arahan

Berikut ialah beberapa keping koleksi gambar yang saya ambil.







Saya hairan adakah pada alaf ke-21 kini masih ada masyarakat yang tidak tahu membaca? Segala arahan yang telah ditetapkan tidak dipatuhi. Apa yang dilarang, itulah yang mereka lakukan. Apa guna sekiranya banyak papan iklan diletakkan sekiranya masyarakat di negara kita masih belum ada kesedaran sivik.

Saya berpendapat bahawa kerajaan harus mengenakan tindakan keras kepada mereka yang sengaja tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Denda dan kompaun yang dikenakan seolah-olah tidak memberi kesan kepada rakyat untuk berubah. Sedangkan dalam televisyen banyak memaparkan nilai-nilai murni, diletakkan iklan di mana-mana sahaja tetapi mentaliti rakyat sukar diubah.


Kata sifat

Kalau dahulu, Za'ba menggunakan kata adjektif sebagai kata sifat, tetapi hari ini perkataan itu telah diubah menjadi kata adjektif. Hal ini kerana perkataan sifat sensitif bagi bangsa Cina kerana "si fat" merujuk kepada punggung. Oleh itu, frasa "kata sifat" telah digantikan dengan "kata adjektif" kerana sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut pensyarah saya, dia tidak bersetuju dengan penggunaan "kata adjektif" dan lebih suka jika "kata sifat" yang digunakan. Hal ini bagi menunjukkan bahawa kata itu menerangkan sifat sesuatu. Beliau menambah lagi, kalau kita asyik fikirkan sensitiviti bahasa lain,  yang mana bahasa itu merujuk kepada istilah sesuatu yang tidak baik, kita tidak akan boleh bercakap. Hal ini kerana terdapat banyak bahasa yang dituturkan di dunia ini.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Saya teringat akan satu isu yang timbul baru-baru ini iaitu kita dilarang menyebut nama Upin dan Ipin, kerana dalam bahasa Israel ia mengandungi makna yang tidak baik. Pada pendapat saya, isu ini tidak wajar diperkatakan. Saya hairan kenapa masyarakat Melayu suka sangat mengkaji bahasa asing. Kalaulah demikian, benarlah kata pensyarah saya itu, sampai bila-bila pun kita tak boleh bercakap. Contohnya kalau kita menyebut "makan riba" di Malaysia, tetapi "riba" di negara lain, mempunyai maksud yang lain.

Fikir-fikirkanlah sebelum mempercayai dan mengamalkan sesuatu perkara.

Rabu, 17 Oktober 2012

Pelajar semakin tidak menghormati guru

Pelajar pada zaman sekarang sudah hilang rasa hormat pada gurunya. Kalau zaman dahulu, mendengar derapan kasut guru sahaja boleh membuatkan semua pelajar terdiam tetapi kini tidak lagi. Dewasa ini, boleh dikatakan bahawa ramai pelajar kurang menghormati guru-guru di sekolah. Perhubungan antara guru dengan pelajar tidak seakrab seperti zaman dahulu. Perkara ini wujud ada banydk kaitannya dengan sikap ibu bapa pelajar itu sendiri. Pada zaman dahulu ibu bapa begitu akrab hubungannya dengan guru-guru. Mereka sentiasa berkirim “salam”. Sekarang di zaman serba moden ini, keadaan seperti ini tidak wujud lagi. Jika dahulu ibu bapa sentiasa menyatakan guru berada di pihak yang benar jika mereka mendenda serta merotan anak-anak mereka. 

Pada masa sekarang keadaan itu amat jauh berbeza. Sebaliknya guru-guru pula yang disalahkan jika mereka mendenda serta merotan pelajar-pelajarnya. Bagi ibu bapa sekarang, mereka lebih berpihak kepada anak-anak serta menyalahkan guru-guru. Ibu bapa pada zaman sekarang lebih memanjakan anak-anak. Jika terdapat kesan-kesan merah atau calar-calar pada badan anak-anak, mereka akan segera menyerang pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Ketika saya berada dalam tingkatan 6 dahulu, pelajar makan dalam kelas seperti tiada guru di depan kelas. Walaupun dimarahi berkali-kali, pelajar tetap tidak mengendahkan guru tersebut. Saya rasa kasihan melihat kepada guru yang perlu banyak berkorban kepada pelajar.

Kedudukan guru yang semakin goyah dalam masyarakat hari ini juga merupakan salah satu penyebabnya. Pada masa dahulu guru adalah satu kerjaya yang amat disanjung oleh masyarakat. Jika ada sebarang majlis dalam sesebuah kampung gurulah yang memainkan peranan utama. Guru-guru dahulu akan duduk di barisan hadapan serta memegang jawatan-jawatan penting dalam kampung. Keadaan sekarang sudah berubah. Pada masa ini tempat-tempat guru pada masa dahulu telah diambil alih oleh tokoh-tokoh korporat, penghulu-penghulu serta ahli-ahli politik. Inilah yang menyebabkan rasa hormat kepada guru-guru agak berkurangan.

Kerjaya perguruan adalah satu kerjaya yang mulia. Namun sekarang ini, is seolaholah dipandang sebagai pilihan kedua. Kedudukan guru di rata masyarakat perlu dipulihkan. Cara ini sahajalah yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar agar kembali menghormati guru-guru.


Budi Bahasa Budaya di Kaunter

Kita selalu mendengar cogan kata "Budi bahasa budaya kita". Kali ini, kita hendaklah belajar satu perkara penting lagi iaitu "Budi bahasa budaya di kaunter". Kalau kita melihat situasi hari ini, contohnya di kaunter Fakulti Bahasa, kaunter bank atau mana-mana kaunter yang berurusan dengan masyarakat, kita dapat lihat kerani yang bekerja sangat tidak berbudi bahasa kepada pelanggan.

Pada hari ini saya telah ke salah sebuah bank di Pekan Tanjung Malim. Saya mengambil nombor giliran saya untuk berurusan dengan kaunter. Memandangkan orang agak ramai, saya duduk dahulu sebelum nombor giliran saya dipanggil. 

Tiba-tiba, nombor giliran saya dipanggil. Saya bangun untuk pergi ke kaunter. Tetapi ada seorang lelaki tua berumur dalam lingkungan 60-70 tahun pergi ke kaunter saya sedangkan bukan nombor gilirannya yang dipanggil. Saya bagaimanapun tidak kisah dengan lelaki tua tersebut, kerana saya faham orang tua agak susah untuk memahami arahan-arahan rasmi sebegini. 

Pekerja di kaunter tersebut keliru kerana saya dan lelaki tua itu pergi ke kaunter sekali gus. Lelaki tua itu kemudiannya memberikan nombor giliran kepada pekerja di kaunter bank tersebut. Tetapi pekerja tersebut telah memarahi lelaki tua itu dengan cara menengking. Saya terkejut dengan tindakan tersebut dan terus rasa bersalah walaupun saya tidak bersalah. Pekerja di kaunter itu memarahi lelaki tua dan mengatakan bahawa perlu memberikan giliran kepada saya terlebih dahulu.

Pada pendapat saya, pekerja itu tidak wajar menengking orang tua. Orang tua perlulah dihormati. Tambahan pula, lelaki itu tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut kerana saya fikir dia tidak nampak nombor giliran yang tertera pada kertas.


Mee atau mi?


Kesalahan ejaan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Satu lagi kesalahan biasa yang digunakan ialah ejaan mee kepada mi. Saya lihat ramai yang keliru antara ejaan mee dan mi, sehinggakan dalam karangan juga mi ditulis dengan perkataan mee. Mi ialah perkataan dalam bahasa Melayu, manakala ejaan dalam bahasa Inggerisnya pula ialah mee. Ramai pengusaha kedai makan yang memandang ringan akan masalah ini. Sedangkan orang yang melihat ejaan ini akan terbiasa dengan ejaan sebegitu dan menggunakannya dalam tulisan rasmi seperti pelajar menulis karangan.


Persidangan Memartabatkan Bahasa Melayu

Pada tanggal 15 dan 16 Oktober 2012, satu persidangan antarabangsa memartabatkan bahasa Melayu telah diadakan di dewan SITC, UPSI. Para pembentang hadir dari negara Indonesia, Singapura dan Brunei. Pada pendapat saya, buah fikiran pembentang-pembentang ini hebat belaka.

Dalam persidangan tersebut, kami didedahkan mengenai sejarah penggunaan bahasa Melayu, menghidupkan kembali konsep "Bahasa Jiwa Bangsa", anjakan paradigma dalam kurikulum bahasa Melayu,  dan banyak lagi mengenai perkembangan bahasa Melayu sejak dahulu sehingga kini.



Walau bagaimanapun, pemartabatan bahasa Melayu bukanlah perlu dilakukan mengikut musim kerana ia perlu dilakukan sepanjang masa sehingga kita benar-benar yakin bahawa bahasa Melayu telag dikuasai oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa ilmu.

Sebagai penutur bahasa kebangsaan, kita hendaklah memberika penghormatan dan pengiktirafan kepada bahasa ibunda kita sendiri. Hal ini kerana tidak ada bahasa lain yang  boleh memartabatkan bahasa ibunda kita melainkan rakyat Malaysia itu sendiri.

Sebagai guru bahasa satu hari nanti, saya juga turut tergerak hati untuk sama-sama memperjuangkan bahasa Melayu. Semoga saya dapat memberikan yang terbaik walaupun sekadar sedikit sumbangan.

Bahasa Kasar

Dalam menggunakan bahasa, ada dua jenis peraturan penting. Pertama ialah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan lain-lain lagi. Peraturan-peraturan ini dipanggil "tatabahasa". Yang kedua ialah peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang, dan lain-lain lagi. Peraturan-peraturan ini dipanggil "budi bahasa". 

Belajar budi bahasa lebih penting daripada belajar tatabahasa.

Saya melihat kita sejak dari zaman sekolah lagi sudah belajar tatabahasa. Tetapi pada hari ini masih ramai yang tidak tahu berbudi bahasa. Apa yang paling ketara ialah mereka menggunakan bahasa kesat terhadap orang lain. Apabila marah, mereka akan menengking dan meninggikan suara. Tak seperti orang zaman dahulu yang menggunakan bahasa halus atau bahasa berlapik untuk menegur orang lain.

Kamus Dewan mengistilahkan bahasa kasar sebagai bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan atau bahasa kesat iaitu bahasa kasar yang digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya.


Sedar tak sedar, bahasa kasar ini sangat meluas penggunaannya. Antara contoh bahasa kasar ialah seperti siot, siol, kewak, batak, cipanos, haprak, hampeh dan lain-lain lagi.

Pada hemat saya, bahasa-bahasa ini lebih baik sekiranya dihapuskan. Remaja mula terpengaruh dengan bahasa sebegini apabila bergaul dengan Mat Rempit, dan menonton filem-filem picisan yang popular di pasaran.

Sabtu, 13 Oktober 2012

Menolak untuk masuk tren

Pada hari cuti umum yang lepas, saya merancang untuk bersia-siar di pusat membeli-belah di sekitar ibu kota. Saya ke sana dengan menaiki KTM Komuter.Keadaan ketika itu penuh sesak kerana cuti umum. Pelbagai golongan yang ada ketika itu. Apabila ramai, keadaan menjadi penuh sesak dan susah untuk masuk atau keluar daripada tren. Saya melihat, ramai yang tidak sabar untuk memasuki tren dan berebut. Ramai juga yang menolak orang di hadapan untuk segera masuk ke dalam tren. Sikap ini amat mengecewakan. 

Sepatutnya penumpang yang berada di luar memberi laluan terlebih dahulu kepada penumpang di dalam tren untuk keluar. Namun, masing-masing tidak mahu mengalah dan tidak mahu memberi ruang. Jika semua berebut, maka keadaan menjadi lebih teruk dan tersumbat. Mereka yang di dalam susah nak keluar dan mereka di luar susah nak masuk. Sikap sebegini harus dielakkan kerana kita perlu memikirkan tentang keselamatan orang lain. Mungkin di sebalik keadaan penuh sesak itu terdapat warga tua, wanita mengandung atau golongan kurang upaya. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri sahaja. Apa salahnya jika memberi ruang kepada penumpang di dalam keluar terlebih dahulu kemudian barulah kita masuk. 

Kurangkan penggunaan beg plastik

Penggunaan plastik boleh meningkatkan suhu bumi dan menipiskan lapisan ozon. Seluruh dunia menyahut saranan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik. Kerajaan telah menjalankan kempen mengurangkan penggunaan plastik. Saya ada sedikit pengalaman yang hendak dikongsikan bersama sewaktu saya bekerja sambilan di sebuah pasar raya. Pada musim perayaan, ramai orang yang datang membeli-belah di pasar raya. Justeru itu, pihak pasar raya mengarahkan kepada semua juruwang untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

Terdapat seorang pelanggan telah membeli banyak barangan dan datang ke kaunter saya. Saya memasukkan barangan yang kecil sahaja ke dalam beg plastik. Barangan keperluan seperti beras 10 Kilogram tidak perlu dimasukkan ke dalam beg plastik. Namun, pelanggan itu memarahi dan berleter kepada saya kerana tidak memberi beg plastik untuk beras. Untuk meredakan kemarahannya, saya memberi beg plastik kepadanya. Sewaktu ingin membuat pembayaran, dia tidak menghulur duit kepada saya sebaliknya mencampakkan sahaja duit itu di atas kaunter.


Keadaan agak kecoh ketika itu dan pengurus saya datang.  Pengurus saya telah tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tidak menyalahkan saya. Sikap pelanggan itu amat teruk dan tidak matang. Dia tidak ada budi bahasa yang baik dan sikapnya agak biadab. Kita seharusnya mengamalkan budi bahasa dan nilai murni yang baik dan menjadi contoh kepada kanak-kanak. Kita harus meminimumkan penggunaan beg plastik dan berfikiran matang bahawa barangan yang besar tidak perlu beg plastik. Kita harus cakna dan prihatin terhadap alam sekitar kita yang semakin hari semakin teruk. Selain itu, kita juga harus mengamalkan amalan berbudi bahasa apabila berurusan dengan orang lain.



Mana hilangnya rasa simpati insan?

Sewaktu pulang dari kelas, saya singgah di sebuah gerai menjual air jambu di tepi jalan raya. Rasa dahaga dek cuaca panas membuatkan saya terliur kepada air jambu tersebut.  Ketika menunggu air dibungkus, saya terpandang ke seberang jalan. Kelihatan seorang lelaki tua ingin melintas jalan. Saya kehairanan dan pelik kenapa dia kelihatan sukar untuk melintas. Saya mengamati dengan penuh teliti beberapa minit dan mendapati dia adalah seorang buta.

Saya terus melihat dan memerhati sekeliling lelaki tua itu. Saya melihat ramai orang sekeliling lelaki itu. Namun tiada seorang pun yang sudi menolong lelaki tua itu melintas jalan. Jalan raya ketika itu boleh dikatakan agak sibuk kerana baru sahaja lepas waktu rehat tengahari. Saya terkilan melihat sikap masyarakat ketika itu. Adakah mereka tidak nampak lelaki tua yang buta ingin melintas jalan? Atau mereka berpendapat nanti akan ada orang lain yang akan menolongnya.

Ini merupakan sikap yang negatif dan tidak menunjukkan nilai kemanusiaan. Rasa simpati dan belas ehsan semakin terhakis dalam diri masyarakat kita sekarang. Bayangkan bagaimana jika kita yang berada di tempat lelaki tua yang buta itu. 


Vandalisme bukan budaya kita

Seorang rakan saya telah mengadu mengenai rasa marah dan geramnya terhadap sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Peristiwa ini berlaku ketika dia sedang menunggu bas berdekatan dengan kolej kediamannya. Secara tidak sengaja, dia menoleh ke arah seberang jalan. Kelihatan beberapa remaja lelaki sedang seronok merosakkan dan menghancurkan sebuah pondok telefon awam di tepi klinik kesihatan.

Ada di antara mereka menggunakan kayu dan ada juga yang menggunakan batu yang terdapat di sekitar pondok telefon tersebut. Mereka memukul dan menerjah pondok telefon itu . Tindakan vandalisme itu amat mengecewakan dan mendukacitakan. Hampir roboh pondok telefon awam itu dibinasakan. Saya anggarkan bahawa remaja itu berusia belasan tahun. Mereka tidak menghiraukan orang sekeliling melihat tindakan yang  tidak bertanggungjawab mereka itu. Di mana hilangnya nilai murni dan tanggungjawab remaja itu? Mereka tidak fikir bagaimana jika terdapat kecemasan dan perlu menggunakan telefon tersebut.


Jika perbuatan itu dilihat oleh kanak-kanak, ini merupakan sesuatu yang sangat negatif. Saya beranggapan mereka marah dan berang terhadap telefon itu disebabkan kegagalan telefon awam itu berfungsi. Namun, mereka tidak seharusnya melepaskan rasa marah mereka dengan melakukan vandalisme seperti itu. Tindakan mereka juga mungkin dipengaruhi oleh anasir barat yang semakin berleluasa di negara kita. Budaya vandalisme di negara barat cuba diikuti oleh remaja di negara kita. Kita semua harus mencegah budaya vandalisme terus berleluasa di negara kita. 


Rabu, 10 Oktober 2012

Tidak siram tandas selepas menggunakannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini saya mahu bercakap mengenai kebersihan tandas awam. Semasa saya bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur, saya kerap kali berhenti di KL Central. Seperti yang diketahui umum, KL Central merupakan sebuah tempat tumpuan ramai. Tetapi tandas di sana tidak bersih. Ada segelintir masyarakat yang tidak menyiram jamban selepas menggunakannya. Selain itu, lantai tandas tersebut sangat kotor. Hal ini seolah-olah tidak pekerja yang mahu mencucinya. Tandas tempat tumpuan seolah-olah dibiarkan kotor. Sinki pula dipenuhi dengan sampah yang tidak dibuang ke dalam tong sampah.

Hal ini sangat tidak baik. KL Central merupakan tempat tumpuan termasuklah pelancong asing. Saya bimbang sekiranya pelancong melihat tandas kita kotor lalu mereka beranggapan bahawa semua rakyat Malaysia itu pengotor. Hal ini sudah tentu memberikan tanggapan yang negatif terhadap negara kita, Malaysia.

Jadi, sama-sama kita menjaga kebersihan tandas awam, kerana bukan sahaja kita yang mahu menggunakannya. Fikirkan juga tentang kemudahan orang lain.

"TANDAS BERKUALITI HIDUP BERKUALITI"


Budaya Tidak Menyusun Buku di Atas Rak Selepas Menggunakannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam saya telah mengadakan satu perbincangan tugasan bersama-sama dengan ahli kumpulan saya. Kami telah mengadakan perbincangan itu di perpustakaan. Apa yang saya dapat lihat di perpustakaan, pelajar mengambil banyak buku sebagai rujukan. Mereka tidak pula meletakkan buku-buku tersebut di tempat asal walaupun banyak ditampal peringatan agar pelajar meletakkan semula buku di atas rak.

Perbuatan sebegini bukan sahaja menyusahkan pihak kaki tangan perpustakaan, tetapi juga menyusahkan pelajar lain untuk mencari buku yang diperlukan. Seperti yang kita tahu, perpustakaan di universiti kita mengamalkan sistem OPAC untuk mencari buku. Tetapi apabila kita mencari buku seperti yang dinyatakan dalam sistem, kita akan mendapati buku itu tidak ada di atas rak yang dinyatakan.

Jadi saya berharap semua pelajar dapat memberikan kerjasama agar semua orang tidak bersusah payah untuk mencari buku.

Rabu, 3 Oktober 2012

Orang besar memaki hamun pekerja bawahan

Situasi ini selalu berlaku di pejabat, restoran, dan sebagainya.

Abang saya menjemput saya untuk makan malam di salah sebuah restoran eksklusif di Kuala Lumpur. Di tepi meja kami kelihatan seperti orang kaya. Mereka memesan beberapa jenis makanan dalam bahasa Inggeris. Pelayan perempuan muda mengambil pesanan mereka. Oleh sebab pada malam itu orang ramai, maka makanan sampai lewat sedikit daripada biasa.

Kemudian, pelayan perempuan itu datang kembali ke meja mereka dengan membawa makanan yang dipesan. Tiba-tiba, pelanggan lelaki yang duduk itu bangun dan memaki hamun pekerja perempuan itu. Saya agak terkejut dan takut melihat situasi itu. Abang saya meminta saya bertenang.

Saya dapat mendengar dengan jelas segala perkataan yang yang keluar dari mulut lelaki itu. Dia memaki dengan kasar mengatakakan makanan lewat sampai. Lelaki itu juga marah bila makanan yang dibawa tidak sama dengan yang dipesan. Semua orang di restoran itu melihat situasi tersebut berlaku tanpa ada orang masuk campur. Pelayan perempuan itu pada mulanya mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dia telah membawa makanan yang dipesan sambil melihat balik senarai makanan itu. Pelayan itu semakin kuat dimaki, kemudian saya melihat dia hanya tunduk dan menangis. Mungkin dia malu kerana dimaki di hadapan orang ramai.

Kemudian pengurus restoran datang menyelesaikan masalah ini. Pengurus berjaya menenangkan lelaki tersebut. Rupa-rupanya, semua makanan yang dibawa ke mejanya sama seperti yang mereka pesan.

Inilah lumrah dunia. Pekerja dan orang bawahan sering menjadi mangsa kepada orang atasan. Pada pendapat saya, kita hendaklah menghormati sesiapa sahaja, tidak mengenal pangkat dan jawatan. Oang muda hendaklah menghormati orang tua, dan begitu juga sebaliknya. Tidak wajar sekiranya orang tua tidak menghormati orang muda kerana dia lebih tua.

Selain itu, kita hendaklah belajar bersabar. Kita hendaklah memahami situasi orang lain juga.


Amalan merokok

Selepas habis kelas Sosiolinguistik, saya pergi ke restoran di hadapan kampus bersama dengan kawan-kawan untuk makan tengahari. 

Pada dinding restoran itu terdapat papan tanda yang berbunyi "DILARANG MEROKOK".

Kami mengambil meja kosong yang berada di tepi sekumpulan lelaki. Semasa makan, salah seorang daripada mereka telah merokok. Saya berasa tidak selesa dengan asap rokok, apatah lagi untuk menyedut asap rokok semasa makan.

Asap rokok sangat berbahaya. Orang yang menyedut asap rokok juga akan menerima kesan buruk daripada perokok walaupun orang itu tidak merokok. Hal ini dinamakan perokok pasif.

saya rasa, sangat tidak wajar kita merokok di tempat awam. Hal ini boleh mengancam nyawa orang lain, dan membuatkan orang ramai tidak selesa. Tidak semua orang sudah biasa dengan asap rokok. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan melepaskan gian merokok di tempat awam. 

Utamakan wanita tua dan ibu mengandung

Sewaktu berada dalam keretapi, saya melihat banyak pesanan dan iklan ditampal. Antaranya ialah pesanan agar penumpang memberi keutamaan kepada tiga golongan iaitu warga tua, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU). Saya duduk dalam koc wanita, Tiba-tiba masuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 60-an bersama anak gadisnya yang berusia dalam lingkungan awal 20-an.

Kebetulan pada hari tersebut ialah hari minggu, maka ramai penumpang yang ada dalam keretapi dan hanya ada satu tempat duduk. Di sebelah saya merupakan seorang ibu mengandung. 

Wanita tua itu menyuruh anak mudanya duduk di atas kerusi yang ada, manakala dia pula berdiri. Anaknya lantas duduk tanpa rasa bertanggungjawab. Oleh kerana ibu mengadung itu kasihan melihat wanita tua tersebut, ibu mengandung itu bangun dan memberi tempat duduk kepada wanita tua. 

Saya hanya melihat. Saya tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberikan wanita tua itu tempat duduk. Hal ini kerana pada pendapat saya, anaknya terlebih dahulu perlu memberikan ibunya tempat duduk, bukan orang lain. Sikap anaknya ini sangat biadap kerana sanggup membiarkan ibunya berdiri dan orang lain terpaksa pula bertolak ansur dengannya.


Tabiat buang sampah merata-rata masih berlaku

Pada hujung minggu yang lepas, sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Putrajaya, saya terpandang salah seorang penumpang bas telah membuang sampah keluar dari bas tersebut.

Saya merasakan sikap penumpang  itu sangat tidak baik dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bayangkan seandainya sampah tersebut terkena kepada penunggang motorsikal ataupun terkena cermin kereta di belakang bas itu, sudah semestinya akan mengakibatkan kemalangan  kepada pengguna jalan raya tersebut.

Selain mengancam keselamatan orang lain, kita hendaklah memikirkan mengenai kebersihan jalan raya kita. Sampah pejal yang tidak mudah hancur akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Kita tidak boleh menganggap hanya kita seorang sahaja yang membuang sampah dan perbuatan itu tidak akan mencemarkan alam sekitar. Hal ini kerana masih ramai pengguna jalan raya bersikap sedemikian. Apa akan jadi pada alam sekitar di Malaysia sekiranya masyarakat kita mengamalkan tabiat membuang sampah di jalan raya?

Sampah boleh dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Sekiranya dalam kenderaan tiada tong sampah, kita boleh memasukkan sampah ke dalam plastik dan apabila sampai ke destinasi, kita boleh mencari tong sampah untuk membuang sampah tersebut.

Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memasang CCTV, dan pihak polis hendaklah menyaman sesiapa sahaja yang membuang sampah dari kenderaan dengan mengenakan hukuman yang berat.

Khamis, 27 September 2012

Bahasa basahan pada papan iklan

Semasa sedang menunggu bas tengahari tadi, saya terpandang pada satu iklan yang ditampal pada papan kenyataan tempat menunggu bas pelajar UPSI. Iklan itu ditulis begini :



Saya tahu bahawa iklan itu ditulis oleh mahasiswa sendiri. Mahasiswa sengaja mengeja perkataan KERETA dengan bahasa basahan. Tidak ada salahnya kalau mereka menulis dengan betul. Pada pendapat saya, iklan yang hendaklah ditayangkan kepada umum terutamanya dalam kalangan pelajar, hendaklah ditulis dengan betul. Apatah lagi ia menggambarkan ciri-ciri seorang mahasiswa yang berpendidikan tinggi.


Rabu, 26 September 2012

Kesantunan Bahasa Kian Pudar

Setiap hari, kita akan berjumpa pelbagai ragam manusia. Pada hari ini, saya telah menemui sekumpulan remaja yang sedang melepak. Saya terdengar perbualan mereka. Salah seorang daripada mereka mengucapkan ayat ini :

"Wei, apelah korang ni. Aku dah tunggu korang lama giler! Nenek aku yang bongkok pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?"


Pada pendapat saya, bahasa yang mereka gunakan ini langsung tidak menggambarkan budaya orang Melayu, apatah lagi sebagai orang Islam yang diajar untuk mengucapkan perkataan-perkataan yang baik. 

Remaja kini bukan sahaja menggunakan istilah baharu dalam percakapan, seperti "korang", tetapi bahasa yang digunakan sangat kasar dan boleh mengguris hati sesetengah pihak. Masyarakat zaman dahulu sangat menjaga tutur kata mereka waima dalam keadaan mahu berlawan. Nilai-nilai murni masyarakat Melayu dahulu kian lama kian terhakis dibawa peredaran masa dan arus pemodenan.

Jika budaya ini tidak dihentikan, dibimbangi hilang jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu. Barangkali remaja sendiri tidak meneliti bahasa yang mereka gunakan. Remaja bertutur sedemikian rupa kerana mahu dianggap sebagai seorang yang hebat dalam kalangan rakan-rakannya. Remaja seharusnya sedar bahawa keperibadian diri tergambar melalui cara mereka berkomunikasi dengan orang lain.

 Sekian, "yang indah itu bahasa."


Kesalahan Ejaan berlaku di sekolah



Pada hujung minggu yang lalu, saya berpeluang melibatkan diri dalam kegiatan khidmat masyarakat di salah sebuah sekolah rendah di Selangor. Sekolah itu cantik dan banyak meletakkan kata-kata mutiara sebagai perhiasan di sepanjang jalan menuju ke kantin. Salah satu daripadanya ditulis begini :

"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga keliang lahat"

Peribahasa ini betul, yang salahnya ialah dari segi ejaan. Sepatutnya ditulis begini :

"Tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"

Frasa "keliang lahat" adalah salah. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan keliang dan lahat. Keliang sepatutnya dijarakkan kerana "ke" ialah kata sendi. Manakala ejaan "lahat" pula salah kerana ejaan yang betul ialah "lahad".

Ejaan sebegini sepatutnya diambil berat oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru bahasa Melayu di sekolah itu. Ejaan ini boleh mempengaruhi cara ejaan pelajar di sekolah tersebut. Sekolah merupakan tempat pendidikan. Oleh itu, sangat wajar sekiranya sekolah menjaga bahasa yang digunakan bagi tujuan mendidik anak bangsa.

Sekian, terima kasih



Bahasa Inggeris Juga Dirosakkan Oleh Orang Melayu

Assalamualaikum.

Sebelum ini, kita banyak melihat bahasa rojak, iaitu bahasa yang melibatkan percampuran pelbagai bahasa dalam sesuatu pertuturan yang diucapkan.Sebentar tadi saya sedang melawat blog-blog rakan. Saya lihat penulisan blog sekarang banyak menggunakan bahasa rojak. Penggunaannya sangat ketara dan meluas. Tetapi, selain daripada bahasa rojak itu sendiri, saya juga mendapati bahasa Inggeris juga dirosakkan oleh orang Melayu itu sendiri. Masalah ini dapat dilihat melalui ejaan bukan pada sebutan, iaitu ejaan di dalam blog. Contoh yang saya dapat lihat tadi ialah :

"tengs sebab sudi baca blog saya"

"so wat???ada aku kisah?"

Saya memahami apa yang cuba diucapkan. Dalam ayat di atas, "tengs" merujuk kepada ucapan "thank you", tetapi ditulis menjadi "tengs". Manakala contoh kedua pula untuk menulis perkataan "what". Dalam hal ini, bahasa bukan sahaja dicampur aduk, malahan bahasa asing juga ditulis dengan salah. Ejaan sebegini tidak sepatutnya diamalkan kerana bukan sahaja merosakkan bahasa Melayu tetapi menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris masyarakat rendah. Apabila masyarakat sudah terbiasa membaca ejaan yang salah, dikhuatiri mereka akan terikut-ikut dengan ejaan sebegitu.

Sekian, terima kasihh.


Bahasa Facebook Remaja

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya akan menulis mengenai bahasa yang digunakan oleh remaja dalam laman Facebook. Ramai remaja yang sengaja mengeja perkataan-perkataan tertentu dengan ejaan yang salah. Mereka beranggapan bahawa bahasa dan ejaan seperti itu moden dan terkini. Selain itu, budaya ini semakin menular dan semakin ramai yang terikut-ikut dengan gaya penulisan sebegini. Contohnya:

"aq mencik do camni, de mber lmew tggu lmew glew x aprv2 gk aq"

Pada pendapat saya, ayat ini sangat susah difahami. Penggunaan ejaan sebegini bukan sahaja merosakkan bahasa, tetapi membuatkan pembaca bingung untuk memahaminya. Alangkah baiknya sekiranya ayat itu dieja betul-betul mengikut ejaan bahasa Melayu yang betul. Bahasa Melayu lebih mudah untuk difahami dan menggambarkan jati diri kita sebagai orang Melayu. Jadi sangat tidak wajar sekiranya bahasa Melayu dipandang rendah dan cuba untuk mengubah ejaan lama menjadi ejaan yang sukar untuk difahami.

Sekian, terima kasih.