Sabtu, 13 Oktober 2012

Menolak untuk masuk tren

Pada hari cuti umum yang lepas, saya merancang untuk bersia-siar di pusat membeli-belah di sekitar ibu kota. Saya ke sana dengan menaiki KTM Komuter.Keadaan ketika itu penuh sesak kerana cuti umum. Pelbagai golongan yang ada ketika itu. Apabila ramai, keadaan menjadi penuh sesak dan susah untuk masuk atau keluar daripada tren. Saya melihat, ramai yang tidak sabar untuk memasuki tren dan berebut. Ramai juga yang menolak orang di hadapan untuk segera masuk ke dalam tren. Sikap ini amat mengecewakan. 

Sepatutnya penumpang yang berada di luar memberi laluan terlebih dahulu kepada penumpang di dalam tren untuk keluar. Namun, masing-masing tidak mahu mengalah dan tidak mahu memberi ruang. Jika semua berebut, maka keadaan menjadi lebih teruk dan tersumbat. Mereka yang di dalam susah nak keluar dan mereka di luar susah nak masuk. Sikap sebegini harus dielakkan kerana kita perlu memikirkan tentang keselamatan orang lain. Mungkin di sebalik keadaan penuh sesak itu terdapat warga tua, wanita mengandung atau golongan kurang upaya. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri sahaja. Apa salahnya jika memberi ruang kepada penumpang di dalam keluar terlebih dahulu kemudian barulah kita masuk. 

Kurangkan penggunaan beg plastik

Penggunaan plastik boleh meningkatkan suhu bumi dan menipiskan lapisan ozon. Seluruh dunia menyahut saranan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik. Kerajaan telah menjalankan kempen mengurangkan penggunaan plastik. Saya ada sedikit pengalaman yang hendak dikongsikan bersama sewaktu saya bekerja sambilan di sebuah pasar raya. Pada musim perayaan, ramai orang yang datang membeli-belah di pasar raya. Justeru itu, pihak pasar raya mengarahkan kepada semua juruwang untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

Terdapat seorang pelanggan telah membeli banyak barangan dan datang ke kaunter saya. Saya memasukkan barangan yang kecil sahaja ke dalam beg plastik. Barangan keperluan seperti beras 10 Kilogram tidak perlu dimasukkan ke dalam beg plastik. Namun, pelanggan itu memarahi dan berleter kepada saya kerana tidak memberi beg plastik untuk beras. Untuk meredakan kemarahannya, saya memberi beg plastik kepadanya. Sewaktu ingin membuat pembayaran, dia tidak menghulur duit kepada saya sebaliknya mencampakkan sahaja duit itu di atas kaunter.


Keadaan agak kecoh ketika itu dan pengurus saya datang.  Pengurus saya telah tahu apa sebenarnya yang berlaku dan tidak menyalahkan saya. Sikap pelanggan itu amat teruk dan tidak matang. Dia tidak ada budi bahasa yang baik dan sikapnya agak biadab. Kita seharusnya mengamalkan budi bahasa dan nilai murni yang baik dan menjadi contoh kepada kanak-kanak. Kita harus meminimumkan penggunaan beg plastik dan berfikiran matang bahawa barangan yang besar tidak perlu beg plastik. Kita harus cakna dan prihatin terhadap alam sekitar kita yang semakin hari semakin teruk. Selain itu, kita juga harus mengamalkan amalan berbudi bahasa apabila berurusan dengan orang lain.



Mana hilangnya rasa simpati insan?

Sewaktu pulang dari kelas, saya singgah di sebuah gerai menjual air jambu di tepi jalan raya. Rasa dahaga dek cuaca panas membuatkan saya terliur kepada air jambu tersebut.  Ketika menunggu air dibungkus, saya terpandang ke seberang jalan. Kelihatan seorang lelaki tua ingin melintas jalan. Saya kehairanan dan pelik kenapa dia kelihatan sukar untuk melintas. Saya mengamati dengan penuh teliti beberapa minit dan mendapati dia adalah seorang buta.

Saya terus melihat dan memerhati sekeliling lelaki tua itu. Saya melihat ramai orang sekeliling lelaki itu. Namun tiada seorang pun yang sudi menolong lelaki tua itu melintas jalan. Jalan raya ketika itu boleh dikatakan agak sibuk kerana baru sahaja lepas waktu rehat tengahari. Saya terkilan melihat sikap masyarakat ketika itu. Adakah mereka tidak nampak lelaki tua yang buta ingin melintas jalan? Atau mereka berpendapat nanti akan ada orang lain yang akan menolongnya.

Ini merupakan sikap yang negatif dan tidak menunjukkan nilai kemanusiaan. Rasa simpati dan belas ehsan semakin terhakis dalam diri masyarakat kita sekarang. Bayangkan bagaimana jika kita yang berada di tempat lelaki tua yang buta itu. 


Vandalisme bukan budaya kita

Seorang rakan saya telah mengadu mengenai rasa marah dan geramnya terhadap sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Peristiwa ini berlaku ketika dia sedang menunggu bas berdekatan dengan kolej kediamannya. Secara tidak sengaja, dia menoleh ke arah seberang jalan. Kelihatan beberapa remaja lelaki sedang seronok merosakkan dan menghancurkan sebuah pondok telefon awam di tepi klinik kesihatan.

Ada di antara mereka menggunakan kayu dan ada juga yang menggunakan batu yang terdapat di sekitar pondok telefon tersebut. Mereka memukul dan menerjah pondok telefon itu . Tindakan vandalisme itu amat mengecewakan dan mendukacitakan. Hampir roboh pondok telefon awam itu dibinasakan. Saya anggarkan bahawa remaja itu berusia belasan tahun. Mereka tidak menghiraukan orang sekeliling melihat tindakan yang  tidak bertanggungjawab mereka itu. Di mana hilangnya nilai murni dan tanggungjawab remaja itu? Mereka tidak fikir bagaimana jika terdapat kecemasan dan perlu menggunakan telefon tersebut.


Jika perbuatan itu dilihat oleh kanak-kanak, ini merupakan sesuatu yang sangat negatif. Saya beranggapan mereka marah dan berang terhadap telefon itu disebabkan kegagalan telefon awam itu berfungsi. Namun, mereka tidak seharusnya melepaskan rasa marah mereka dengan melakukan vandalisme seperti itu. Tindakan mereka juga mungkin dipengaruhi oleh anasir barat yang semakin berleluasa di negara kita. Budaya vandalisme di negara barat cuba diikuti oleh remaja di negara kita. Kita semua harus mencegah budaya vandalisme terus berleluasa di negara kita. 


Rabu, 10 Oktober 2012

Tidak siram tandas selepas menggunakannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini saya mahu bercakap mengenai kebersihan tandas awam. Semasa saya bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur, saya kerap kali berhenti di KL Central. Seperti yang diketahui umum, KL Central merupakan sebuah tempat tumpuan ramai. Tetapi tandas di sana tidak bersih. Ada segelintir masyarakat yang tidak menyiram jamban selepas menggunakannya. Selain itu, lantai tandas tersebut sangat kotor. Hal ini seolah-olah tidak pekerja yang mahu mencucinya. Tandas tempat tumpuan seolah-olah dibiarkan kotor. Sinki pula dipenuhi dengan sampah yang tidak dibuang ke dalam tong sampah.

Hal ini sangat tidak baik. KL Central merupakan tempat tumpuan termasuklah pelancong asing. Saya bimbang sekiranya pelancong melihat tandas kita kotor lalu mereka beranggapan bahawa semua rakyat Malaysia itu pengotor. Hal ini sudah tentu memberikan tanggapan yang negatif terhadap negara kita, Malaysia.

Jadi, sama-sama kita menjaga kebersihan tandas awam, kerana bukan sahaja kita yang mahu menggunakannya. Fikirkan juga tentang kemudahan orang lain.

"TANDAS BERKUALITI HIDUP BERKUALITI"


Budaya Tidak Menyusun Buku di Atas Rak Selepas Menggunakannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam saya telah mengadakan satu perbincangan tugasan bersama-sama dengan ahli kumpulan saya. Kami telah mengadakan perbincangan itu di perpustakaan. Apa yang saya dapat lihat di perpustakaan, pelajar mengambil banyak buku sebagai rujukan. Mereka tidak pula meletakkan buku-buku tersebut di tempat asal walaupun banyak ditampal peringatan agar pelajar meletakkan semula buku di atas rak.

Perbuatan sebegini bukan sahaja menyusahkan pihak kaki tangan perpustakaan, tetapi juga menyusahkan pelajar lain untuk mencari buku yang diperlukan. Seperti yang kita tahu, perpustakaan di universiti kita mengamalkan sistem OPAC untuk mencari buku. Tetapi apabila kita mencari buku seperti yang dinyatakan dalam sistem, kita akan mendapati buku itu tidak ada di atas rak yang dinyatakan.

Jadi saya berharap semua pelajar dapat memberikan kerjasama agar semua orang tidak bersusah payah untuk mencari buku.