Seorang rakan saya telah mengadu mengenai rasa marah dan geramnya terhadap sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Peristiwa ini berlaku ketika dia sedang menunggu bas berdekatan dengan kolej kediamannya. Secara tidak sengaja, dia menoleh ke arah seberang jalan. Kelihatan beberapa remaja lelaki sedang seronok merosakkan dan menghancurkan sebuah pondok telefon awam di tepi klinik kesihatan.
Ada di antara mereka menggunakan kayu dan ada juga yang menggunakan batu yang terdapat di sekitar pondok telefon tersebut. Mereka memukul dan menerjah pondok telefon itu . Tindakan vandalisme itu amat mengecewakan dan mendukacitakan. Hampir roboh pondok telefon awam itu dibinasakan. Saya anggarkan bahawa remaja itu berusia belasan tahun. Mereka tidak menghiraukan orang sekeliling melihat tindakan yang tidak bertanggungjawab mereka itu. Di mana hilangnya nilai murni dan tanggungjawab remaja itu? Mereka tidak fikir bagaimana jika terdapat kecemasan dan perlu menggunakan telefon tersebut.
Jika perbuatan itu dilihat oleh kanak-kanak, ini merupakan sesuatu yang sangat negatif. Saya beranggapan mereka marah dan berang terhadap telefon itu disebabkan kegagalan telefon awam itu berfungsi. Namun, mereka tidak seharusnya melepaskan rasa marah mereka dengan melakukan vandalisme seperti itu. Tindakan mereka juga mungkin dipengaruhi oleh anasir barat yang semakin berleluasa di negara kita. Budaya vandalisme di negara barat cuba diikuti oleh remaja di negara kita. Kita semua harus mencegah budaya vandalisme terus berleluasa di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan