Rabu, 3 Oktober 2012

Orang besar memaki hamun pekerja bawahan

Situasi ini selalu berlaku di pejabat, restoran, dan sebagainya.

Abang saya menjemput saya untuk makan malam di salah sebuah restoran eksklusif di Kuala Lumpur. Di tepi meja kami kelihatan seperti orang kaya. Mereka memesan beberapa jenis makanan dalam bahasa Inggeris. Pelayan perempuan muda mengambil pesanan mereka. Oleh sebab pada malam itu orang ramai, maka makanan sampai lewat sedikit daripada biasa.

Kemudian, pelayan perempuan itu datang kembali ke meja mereka dengan membawa makanan yang dipesan. Tiba-tiba, pelanggan lelaki yang duduk itu bangun dan memaki hamun pekerja perempuan itu. Saya agak terkejut dan takut melihat situasi itu. Abang saya meminta saya bertenang.

Saya dapat mendengar dengan jelas segala perkataan yang yang keluar dari mulut lelaki itu. Dia memaki dengan kasar mengatakakan makanan lewat sampai. Lelaki itu juga marah bila makanan yang dibawa tidak sama dengan yang dipesan. Semua orang di restoran itu melihat situasi tersebut berlaku tanpa ada orang masuk campur. Pelayan perempuan itu pada mulanya mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dia telah membawa makanan yang dipesan sambil melihat balik senarai makanan itu. Pelayan itu semakin kuat dimaki, kemudian saya melihat dia hanya tunduk dan menangis. Mungkin dia malu kerana dimaki di hadapan orang ramai.

Kemudian pengurus restoran datang menyelesaikan masalah ini. Pengurus berjaya menenangkan lelaki tersebut. Rupa-rupanya, semua makanan yang dibawa ke mejanya sama seperti yang mereka pesan.

Inilah lumrah dunia. Pekerja dan orang bawahan sering menjadi mangsa kepada orang atasan. Pada pendapat saya, kita hendaklah menghormati sesiapa sahaja, tidak mengenal pangkat dan jawatan. Oang muda hendaklah menghormati orang tua, dan begitu juga sebaliknya. Tidak wajar sekiranya orang tua tidak menghormati orang muda kerana dia lebih tua.

Selain itu, kita hendaklah belajar bersabar. Kita hendaklah memahami situasi orang lain juga.


Amalan merokok

Selepas habis kelas Sosiolinguistik, saya pergi ke restoran di hadapan kampus bersama dengan kawan-kawan untuk makan tengahari. 

Pada dinding restoran itu terdapat papan tanda yang berbunyi "DILARANG MEROKOK".

Kami mengambil meja kosong yang berada di tepi sekumpulan lelaki. Semasa makan, salah seorang daripada mereka telah merokok. Saya berasa tidak selesa dengan asap rokok, apatah lagi untuk menyedut asap rokok semasa makan.

Asap rokok sangat berbahaya. Orang yang menyedut asap rokok juga akan menerima kesan buruk daripada perokok walaupun orang itu tidak merokok. Hal ini dinamakan perokok pasif.

saya rasa, sangat tidak wajar kita merokok di tempat awam. Hal ini boleh mengancam nyawa orang lain, dan membuatkan orang ramai tidak selesa. Tidak semua orang sudah biasa dengan asap rokok. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan melepaskan gian merokok di tempat awam. 

Utamakan wanita tua dan ibu mengandung

Sewaktu berada dalam keretapi, saya melihat banyak pesanan dan iklan ditampal. Antaranya ialah pesanan agar penumpang memberi keutamaan kepada tiga golongan iaitu warga tua, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU). Saya duduk dalam koc wanita, Tiba-tiba masuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 60-an bersama anak gadisnya yang berusia dalam lingkungan awal 20-an.

Kebetulan pada hari tersebut ialah hari minggu, maka ramai penumpang yang ada dalam keretapi dan hanya ada satu tempat duduk. Di sebelah saya merupakan seorang ibu mengandung. 

Wanita tua itu menyuruh anak mudanya duduk di atas kerusi yang ada, manakala dia pula berdiri. Anaknya lantas duduk tanpa rasa bertanggungjawab. Oleh kerana ibu mengadung itu kasihan melihat wanita tua tersebut, ibu mengandung itu bangun dan memberi tempat duduk kepada wanita tua. 

Saya hanya melihat. Saya tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberikan wanita tua itu tempat duduk. Hal ini kerana pada pendapat saya, anaknya terlebih dahulu perlu memberikan ibunya tempat duduk, bukan orang lain. Sikap anaknya ini sangat biadap kerana sanggup membiarkan ibunya berdiri dan orang lain terpaksa pula bertolak ansur dengannya.


Tabiat buang sampah merata-rata masih berlaku

Pada hujung minggu yang lepas, sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Putrajaya, saya terpandang salah seorang penumpang bas telah membuang sampah keluar dari bas tersebut.

Saya merasakan sikap penumpang  itu sangat tidak baik dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bayangkan seandainya sampah tersebut terkena kepada penunggang motorsikal ataupun terkena cermin kereta di belakang bas itu, sudah semestinya akan mengakibatkan kemalangan  kepada pengguna jalan raya tersebut.

Selain mengancam keselamatan orang lain, kita hendaklah memikirkan mengenai kebersihan jalan raya kita. Sampah pejal yang tidak mudah hancur akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Kita tidak boleh menganggap hanya kita seorang sahaja yang membuang sampah dan perbuatan itu tidak akan mencemarkan alam sekitar. Hal ini kerana masih ramai pengguna jalan raya bersikap sedemikian. Apa akan jadi pada alam sekitar di Malaysia sekiranya masyarakat kita mengamalkan tabiat membuang sampah di jalan raya?

Sampah boleh dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Sekiranya dalam kenderaan tiada tong sampah, kita boleh memasukkan sampah ke dalam plastik dan apabila sampai ke destinasi, kita boleh mencari tong sampah untuk membuang sampah tersebut.

Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memasang CCTV, dan pihak polis hendaklah menyaman sesiapa sahaja yang membuang sampah dari kenderaan dengan mengenakan hukuman yang berat.