Pada hujung minggu yang lepas, sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Putrajaya, saya terpandang salah seorang penumpang bas telah membuang sampah keluar dari bas tersebut.
Saya merasakan sikap penumpang itu sangat tidak baik dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bayangkan seandainya sampah tersebut terkena kepada penunggang motorsikal ataupun terkena cermin kereta di belakang bas itu, sudah semestinya akan mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya tersebut.
Selain mengancam keselamatan orang lain, kita hendaklah memikirkan mengenai kebersihan jalan raya kita. Sampah pejal yang tidak mudah hancur akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Kita tidak boleh menganggap hanya kita seorang sahaja yang membuang sampah dan perbuatan itu tidak akan mencemarkan alam sekitar. Hal ini kerana masih ramai pengguna jalan raya bersikap sedemikian. Apa akan jadi pada alam sekitar di Malaysia sekiranya masyarakat kita mengamalkan tabiat membuang sampah di jalan raya?
Sampah boleh dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Sekiranya dalam kenderaan tiada tong sampah, kita boleh memasukkan sampah ke dalam plastik dan apabila sampai ke destinasi, kita boleh mencari tong sampah untuk membuang sampah tersebut.
Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memasang CCTV, dan pihak polis hendaklah menyaman sesiapa sahaja yang membuang sampah dari kenderaan dengan mengenakan hukuman yang berat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan