Ahad, 21 Oktober 2012

Sikap Tidak Menepati Masa

Orang Melayu memang terkenal dengan sikap tidak menepati masa. Pada pendapat saya sebab inilah kita masih ketinggalan jauh ke belakang. Budaya kita tidak sama dengan budaya bangsa lain yang maju contohnya masyarakat Jepun.

Sejak kebelakangan ini, saya tertekan dengan sikap segelintir di antara kita yang tidak menepati masa. Misalnya jika saya berjanji dengan mereka mahu berjumpa pada pukul 10 pagi, mereka akan datang pada pukul 11 pagi atau 12 tengahari. Begitu juga jika mereka mengadakan mesyuarat atau perjumpaan kumpulan.Biasanya, masa yang mereka janji, mereka sendiri tidak tepati. Hal ini menyebabkan orang yang menunggu terasa dan marah. Tetapi apabila disuarakan, mereka mengatakan bahawa inilah budaya orang Melayu.

Saya bukannya nak meninggi diri. Biasanya kalau saya ada temu janji dengan seseorang mahupun dikehendaki datang ke sesuatu majlis, saya akan datang 10 atau 15 minit lebih awal. Tapi ia telah menimbulkan rasa bosan dan sakit hati yang amat di dalam diri saya. Selalunya majlis atau orang yang ditunggu akan tiba lewat dari waktu yang ditetapkan. Adakah ini sikap yang wajar ditunjukkan oleh orang Islam?

Seharusnya kita membuang budaya ini, kerana budaya ini hanya membazirkan masa sahaja. Bukankah Allah juga berfirman yang bermaksud :

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3] 


Sabtu, 20 Oktober 2012

Aircond atau Pendingin Hawa?

Semasa saya berada dalam dewan kuliah, saya terpandang satu kertas yang ditampal di dinding dewan kuliah. Saya sempat mengambil gambar kenyataan itu iaitu seperti dalam gambar di atas.

Bahasa yang digunakan bercampur aduk. Suis "aircond". Suis adalah dalam bahasa Melayu manakala "aircond" adalah dalam bahasa Inggeris. Apa salahnya kalau "aircond" ditulis pendingin hawa. Kesalahan yang kedua ialaih "on-off". Apa yang sepatutnya ditulis ialah buka dan tutup.

Pada pendapat saya, hal ini terjadi kerana masyarakat sudah biasa menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Inggeris yang tidak digunakan dalam bahasa Melayu. Contohnya "aircond". Tidak ramai yang memanggil "aircond" itu sebagai pendingin hawa. Kebiasaan ini telah mewujukan perkataan-perkataan dieja dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu terus ditinggalkan.


Bus atau Bas?


Semasa saya sedang menunggu bas di hadapan pintu masuk UPSI, saya terpandang sebuah sepanduk yang terdapat kesalahan ejaan pada perkataan bas. Bas dieja dengan perkataan "bus". Jadi saya sempat menangkap gambar kesalahan ejaan tersebut.

Saya pasti dan yakin, kesalahan itu sengaja dilakukan. Saya berpendapat kanak-kanak darjah satu pun tahu ejaan yang sebenar, apatah lagi mahasiswa dan mahasiswi yang bakal menjadi guru.

Kita seharusnya sensitif dengan perkara ini dan kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku begitu sahaja. Mungkin orang yang menulis perkataan ini menganggap ianya adalah biasa. Tetapi sebenarnya tidak. 

Khamis, 18 Oktober 2012

Tidak Faham Arahan

Berikut ialah beberapa keping koleksi gambar yang saya ambil.







Saya hairan adakah pada alaf ke-21 kini masih ada masyarakat yang tidak tahu membaca? Segala arahan yang telah ditetapkan tidak dipatuhi. Apa yang dilarang, itulah yang mereka lakukan. Apa guna sekiranya banyak papan iklan diletakkan sekiranya masyarakat di negara kita masih belum ada kesedaran sivik.

Saya berpendapat bahawa kerajaan harus mengenakan tindakan keras kepada mereka yang sengaja tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Denda dan kompaun yang dikenakan seolah-olah tidak memberi kesan kepada rakyat untuk berubah. Sedangkan dalam televisyen banyak memaparkan nilai-nilai murni, diletakkan iklan di mana-mana sahaja tetapi mentaliti rakyat sukar diubah.


Kata sifat

Kalau dahulu, Za'ba menggunakan kata adjektif sebagai kata sifat, tetapi hari ini perkataan itu telah diubah menjadi kata adjektif. Hal ini kerana perkataan sifat sensitif bagi bangsa Cina kerana "si fat" merujuk kepada punggung. Oleh itu, frasa "kata sifat" telah digantikan dengan "kata adjektif" kerana sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut pensyarah saya, dia tidak bersetuju dengan penggunaan "kata adjektif" dan lebih suka jika "kata sifat" yang digunakan. Hal ini bagi menunjukkan bahawa kata itu menerangkan sifat sesuatu. Beliau menambah lagi, kalau kita asyik fikirkan sensitiviti bahasa lain,  yang mana bahasa itu merujuk kepada istilah sesuatu yang tidak baik, kita tidak akan boleh bercakap. Hal ini kerana terdapat banyak bahasa yang dituturkan di dunia ini.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Saya teringat akan satu isu yang timbul baru-baru ini iaitu kita dilarang menyebut nama Upin dan Ipin, kerana dalam bahasa Israel ia mengandungi makna yang tidak baik. Pada pendapat saya, isu ini tidak wajar diperkatakan. Saya hairan kenapa masyarakat Melayu suka sangat mengkaji bahasa asing. Kalaulah demikian, benarlah kata pensyarah saya itu, sampai bila-bila pun kita tak boleh bercakap. Contohnya kalau kita menyebut "makan riba" di Malaysia, tetapi "riba" di negara lain, mempunyai maksud yang lain.

Fikir-fikirkanlah sebelum mempercayai dan mengamalkan sesuatu perkara.

Rabu, 17 Oktober 2012

Pelajar semakin tidak menghormati guru

Pelajar pada zaman sekarang sudah hilang rasa hormat pada gurunya. Kalau zaman dahulu, mendengar derapan kasut guru sahaja boleh membuatkan semua pelajar terdiam tetapi kini tidak lagi. Dewasa ini, boleh dikatakan bahawa ramai pelajar kurang menghormati guru-guru di sekolah. Perhubungan antara guru dengan pelajar tidak seakrab seperti zaman dahulu. Perkara ini wujud ada banydk kaitannya dengan sikap ibu bapa pelajar itu sendiri. Pada zaman dahulu ibu bapa begitu akrab hubungannya dengan guru-guru. Mereka sentiasa berkirim “salam”. Sekarang di zaman serba moden ini, keadaan seperti ini tidak wujud lagi. Jika dahulu ibu bapa sentiasa menyatakan guru berada di pihak yang benar jika mereka mendenda serta merotan anak-anak mereka. 

Pada masa sekarang keadaan itu amat jauh berbeza. Sebaliknya guru-guru pula yang disalahkan jika mereka mendenda serta merotan pelajar-pelajarnya. Bagi ibu bapa sekarang, mereka lebih berpihak kepada anak-anak serta menyalahkan guru-guru. Ibu bapa pada zaman sekarang lebih memanjakan anak-anak. Jika terdapat kesan-kesan merah atau calar-calar pada badan anak-anak, mereka akan segera menyerang pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Ketika saya berada dalam tingkatan 6 dahulu, pelajar makan dalam kelas seperti tiada guru di depan kelas. Walaupun dimarahi berkali-kali, pelajar tetap tidak mengendahkan guru tersebut. Saya rasa kasihan melihat kepada guru yang perlu banyak berkorban kepada pelajar.

Kedudukan guru yang semakin goyah dalam masyarakat hari ini juga merupakan salah satu penyebabnya. Pada masa dahulu guru adalah satu kerjaya yang amat disanjung oleh masyarakat. Jika ada sebarang majlis dalam sesebuah kampung gurulah yang memainkan peranan utama. Guru-guru dahulu akan duduk di barisan hadapan serta memegang jawatan-jawatan penting dalam kampung. Keadaan sekarang sudah berubah. Pada masa ini tempat-tempat guru pada masa dahulu telah diambil alih oleh tokoh-tokoh korporat, penghulu-penghulu serta ahli-ahli politik. Inilah yang menyebabkan rasa hormat kepada guru-guru agak berkurangan.

Kerjaya perguruan adalah satu kerjaya yang mulia. Namun sekarang ini, is seolaholah dipandang sebagai pilihan kedua. Kedudukan guru di rata masyarakat perlu dipulihkan. Cara ini sahajalah yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar agar kembali menghormati guru-guru.


Budi Bahasa Budaya di Kaunter

Kita selalu mendengar cogan kata "Budi bahasa budaya kita". Kali ini, kita hendaklah belajar satu perkara penting lagi iaitu "Budi bahasa budaya di kaunter". Kalau kita melihat situasi hari ini, contohnya di kaunter Fakulti Bahasa, kaunter bank atau mana-mana kaunter yang berurusan dengan masyarakat, kita dapat lihat kerani yang bekerja sangat tidak berbudi bahasa kepada pelanggan.

Pada hari ini saya telah ke salah sebuah bank di Pekan Tanjung Malim. Saya mengambil nombor giliran saya untuk berurusan dengan kaunter. Memandangkan orang agak ramai, saya duduk dahulu sebelum nombor giliran saya dipanggil. 

Tiba-tiba, nombor giliran saya dipanggil. Saya bangun untuk pergi ke kaunter. Tetapi ada seorang lelaki tua berumur dalam lingkungan 60-70 tahun pergi ke kaunter saya sedangkan bukan nombor gilirannya yang dipanggil. Saya bagaimanapun tidak kisah dengan lelaki tua tersebut, kerana saya faham orang tua agak susah untuk memahami arahan-arahan rasmi sebegini. 

Pekerja di kaunter tersebut keliru kerana saya dan lelaki tua itu pergi ke kaunter sekali gus. Lelaki tua itu kemudiannya memberikan nombor giliran kepada pekerja di kaunter bank tersebut. Tetapi pekerja tersebut telah memarahi lelaki tua itu dengan cara menengking. Saya terkejut dengan tindakan tersebut dan terus rasa bersalah walaupun saya tidak bersalah. Pekerja di kaunter itu memarahi lelaki tua dan mengatakan bahawa perlu memberikan giliran kepada saya terlebih dahulu.

Pada pendapat saya, pekerja itu tidak wajar menengking orang tua. Orang tua perlulah dihormati. Tambahan pula, lelaki itu tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut kerana saya fikir dia tidak nampak nombor giliran yang tertera pada kertas.