Rabu, 3 Oktober 2012

Orang besar memaki hamun pekerja bawahan

Situasi ini selalu berlaku di pejabat, restoran, dan sebagainya.

Abang saya menjemput saya untuk makan malam di salah sebuah restoran eksklusif di Kuala Lumpur. Di tepi meja kami kelihatan seperti orang kaya. Mereka memesan beberapa jenis makanan dalam bahasa Inggeris. Pelayan perempuan muda mengambil pesanan mereka. Oleh sebab pada malam itu orang ramai, maka makanan sampai lewat sedikit daripada biasa.

Kemudian, pelayan perempuan itu datang kembali ke meja mereka dengan membawa makanan yang dipesan. Tiba-tiba, pelanggan lelaki yang duduk itu bangun dan memaki hamun pekerja perempuan itu. Saya agak terkejut dan takut melihat situasi itu. Abang saya meminta saya bertenang.

Saya dapat mendengar dengan jelas segala perkataan yang yang keluar dari mulut lelaki itu. Dia memaki dengan kasar mengatakakan makanan lewat sampai. Lelaki itu juga marah bila makanan yang dibawa tidak sama dengan yang dipesan. Semua orang di restoran itu melihat situasi tersebut berlaku tanpa ada orang masuk campur. Pelayan perempuan itu pada mulanya mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dia telah membawa makanan yang dipesan sambil melihat balik senarai makanan itu. Pelayan itu semakin kuat dimaki, kemudian saya melihat dia hanya tunduk dan menangis. Mungkin dia malu kerana dimaki di hadapan orang ramai.

Kemudian pengurus restoran datang menyelesaikan masalah ini. Pengurus berjaya menenangkan lelaki tersebut. Rupa-rupanya, semua makanan yang dibawa ke mejanya sama seperti yang mereka pesan.

Inilah lumrah dunia. Pekerja dan orang bawahan sering menjadi mangsa kepada orang atasan. Pada pendapat saya, kita hendaklah menghormati sesiapa sahaja, tidak mengenal pangkat dan jawatan. Oang muda hendaklah menghormati orang tua, dan begitu juga sebaliknya. Tidak wajar sekiranya orang tua tidak menghormati orang muda kerana dia lebih tua.

Selain itu, kita hendaklah belajar bersabar. Kita hendaklah memahami situasi orang lain juga.


Amalan merokok

Selepas habis kelas Sosiolinguistik, saya pergi ke restoran di hadapan kampus bersama dengan kawan-kawan untuk makan tengahari. 

Pada dinding restoran itu terdapat papan tanda yang berbunyi "DILARANG MEROKOK".

Kami mengambil meja kosong yang berada di tepi sekumpulan lelaki. Semasa makan, salah seorang daripada mereka telah merokok. Saya berasa tidak selesa dengan asap rokok, apatah lagi untuk menyedut asap rokok semasa makan.

Asap rokok sangat berbahaya. Orang yang menyedut asap rokok juga akan menerima kesan buruk daripada perokok walaupun orang itu tidak merokok. Hal ini dinamakan perokok pasif.

saya rasa, sangat tidak wajar kita merokok di tempat awam. Hal ini boleh mengancam nyawa orang lain, dan membuatkan orang ramai tidak selesa. Tidak semua orang sudah biasa dengan asap rokok. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan melepaskan gian merokok di tempat awam. 

Utamakan wanita tua dan ibu mengandung

Sewaktu berada dalam keretapi, saya melihat banyak pesanan dan iklan ditampal. Antaranya ialah pesanan agar penumpang memberi keutamaan kepada tiga golongan iaitu warga tua, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU). Saya duduk dalam koc wanita, Tiba-tiba masuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 60-an bersama anak gadisnya yang berusia dalam lingkungan awal 20-an.

Kebetulan pada hari tersebut ialah hari minggu, maka ramai penumpang yang ada dalam keretapi dan hanya ada satu tempat duduk. Di sebelah saya merupakan seorang ibu mengandung. 

Wanita tua itu menyuruh anak mudanya duduk di atas kerusi yang ada, manakala dia pula berdiri. Anaknya lantas duduk tanpa rasa bertanggungjawab. Oleh kerana ibu mengadung itu kasihan melihat wanita tua tersebut, ibu mengandung itu bangun dan memberi tempat duduk kepada wanita tua. 

Saya hanya melihat. Saya tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberikan wanita tua itu tempat duduk. Hal ini kerana pada pendapat saya, anaknya terlebih dahulu perlu memberikan ibunya tempat duduk, bukan orang lain. Sikap anaknya ini sangat biadap kerana sanggup membiarkan ibunya berdiri dan orang lain terpaksa pula bertolak ansur dengannya.


Tabiat buang sampah merata-rata masih berlaku

Pada hujung minggu yang lepas, sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke Putrajaya, saya terpandang salah seorang penumpang bas telah membuang sampah keluar dari bas tersebut.

Saya merasakan sikap penumpang  itu sangat tidak baik dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bayangkan seandainya sampah tersebut terkena kepada penunggang motorsikal ataupun terkena cermin kereta di belakang bas itu, sudah semestinya akan mengakibatkan kemalangan  kepada pengguna jalan raya tersebut.

Selain mengancam keselamatan orang lain, kita hendaklah memikirkan mengenai kebersihan jalan raya kita. Sampah pejal yang tidak mudah hancur akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Kita tidak boleh menganggap hanya kita seorang sahaja yang membuang sampah dan perbuatan itu tidak akan mencemarkan alam sekitar. Hal ini kerana masih ramai pengguna jalan raya bersikap sedemikian. Apa akan jadi pada alam sekitar di Malaysia sekiranya masyarakat kita mengamalkan tabiat membuang sampah di jalan raya?

Sampah boleh dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Sekiranya dalam kenderaan tiada tong sampah, kita boleh memasukkan sampah ke dalam plastik dan apabila sampai ke destinasi, kita boleh mencari tong sampah untuk membuang sampah tersebut.

Cadangan saya untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memasang CCTV, dan pihak polis hendaklah menyaman sesiapa sahaja yang membuang sampah dari kenderaan dengan mengenakan hukuman yang berat.

Khamis, 27 September 2012

Bahasa basahan pada papan iklan

Semasa sedang menunggu bas tengahari tadi, saya terpandang pada satu iklan yang ditampal pada papan kenyataan tempat menunggu bas pelajar UPSI. Iklan itu ditulis begini :



Saya tahu bahawa iklan itu ditulis oleh mahasiswa sendiri. Mahasiswa sengaja mengeja perkataan KERETA dengan bahasa basahan. Tidak ada salahnya kalau mereka menulis dengan betul. Pada pendapat saya, iklan yang hendaklah ditayangkan kepada umum terutamanya dalam kalangan pelajar, hendaklah ditulis dengan betul. Apatah lagi ia menggambarkan ciri-ciri seorang mahasiswa yang berpendidikan tinggi.


Rabu, 26 September 2012

Kesantunan Bahasa Kian Pudar

Setiap hari, kita akan berjumpa pelbagai ragam manusia. Pada hari ini, saya telah menemui sekumpulan remaja yang sedang melepak. Saya terdengar perbualan mereka. Salah seorang daripada mereka mengucapkan ayat ini :

"Wei, apelah korang ni. Aku dah tunggu korang lama giler! Nenek aku yang bongkok pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?"


Pada pendapat saya, bahasa yang mereka gunakan ini langsung tidak menggambarkan budaya orang Melayu, apatah lagi sebagai orang Islam yang diajar untuk mengucapkan perkataan-perkataan yang baik. 

Remaja kini bukan sahaja menggunakan istilah baharu dalam percakapan, seperti "korang", tetapi bahasa yang digunakan sangat kasar dan boleh mengguris hati sesetengah pihak. Masyarakat zaman dahulu sangat menjaga tutur kata mereka waima dalam keadaan mahu berlawan. Nilai-nilai murni masyarakat Melayu dahulu kian lama kian terhakis dibawa peredaran masa dan arus pemodenan.

Jika budaya ini tidak dihentikan, dibimbangi hilang jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu. Barangkali remaja sendiri tidak meneliti bahasa yang mereka gunakan. Remaja bertutur sedemikian rupa kerana mahu dianggap sebagai seorang yang hebat dalam kalangan rakan-rakannya. Remaja seharusnya sedar bahawa keperibadian diri tergambar melalui cara mereka berkomunikasi dengan orang lain.

 Sekian, "yang indah itu bahasa."


Kesalahan Ejaan berlaku di sekolah



Pada hujung minggu yang lalu, saya berpeluang melibatkan diri dalam kegiatan khidmat masyarakat di salah sebuah sekolah rendah di Selangor. Sekolah itu cantik dan banyak meletakkan kata-kata mutiara sebagai perhiasan di sepanjang jalan menuju ke kantin. Salah satu daripadanya ditulis begini :

"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga keliang lahat"

Peribahasa ini betul, yang salahnya ialah dari segi ejaan. Sepatutnya ditulis begini :

"Tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"

Frasa "keliang lahat" adalah salah. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan keliang dan lahat. Keliang sepatutnya dijarakkan kerana "ke" ialah kata sendi. Manakala ejaan "lahat" pula salah kerana ejaan yang betul ialah "lahad".

Ejaan sebegini sepatutnya diambil berat oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru bahasa Melayu di sekolah itu. Ejaan ini boleh mempengaruhi cara ejaan pelajar di sekolah tersebut. Sekolah merupakan tempat pendidikan. Oleh itu, sangat wajar sekiranya sekolah menjaga bahasa yang digunakan bagi tujuan mendidik anak bangsa.

Sekian, terima kasih